PROFESOR DATUK DR. IR. Ts. MOHD JAILANI BIN MOHD NOR

PROFESOR DATUK DR. IR. Ts. MOHD JAILANI BIN MOHD NOR memperolehi ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal dari Oklahoma State University, USA pada tahun 1984. Mendapat ijazah Sarjana dari universiti yang sama pada tahun 1988, selepas menamatkan kursus sijil perguruan lepasan ijazah (SPLI) di Maktab Perguruan Teknik, Jalan Cheras, Kuala Lumpur pada tahun 1986. Seterusnya, beliau memperolehi ijazah PhD dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal dari Sheffield Hallam University, United Kingdom pada tahun 1996.
Beliau memulakan kerjaya sebagai seorang tutor di Jabatan Kejuruteraan Mekanik dan Bahan, Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1986. Setelah memperolehi ijazah sarjana, beliau telah dilantik sebagai seorang pensyarah pada tahun 1988. Beliau dilantik ke jawatan Profesor Madya pada tahun 1998 dan seterusnya ke jawatan Profesor pada tahun 2005. Mula diberi tanggungjawab menjadi pentadbir apabila dilantik sebagai Ketua Jabatan pada 1hb April 1999 dan memegang jawatan tersebut selama lima tahun sehingga dilantik sebagai Timbalan Dekan (Akademik), Fakulti Kejuruteraan, UKM pada tahun 2003. Setelah menyandang jawatan tersebut selama empat tahun beliau dilantik pula untuk mengisi jawatan Timbalan Pengarah, Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, UKM mulai bulan April 2007. Pernah memegang jawatan Pengarah, Bahagian Perancangan Kecemerlangan IPT, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia bermula bulan Januari 2009 hingga Disember 2011. Seterusnya menyandang jawatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) mulai bulan Januari 2012 hingga Jun 2018.
Sehingga kini, beliau telah menghasilkan lebih dari 30 buah buku dan prosiding, 130 kertas jurnal, 30 ucap utama dan kertas jemputan, 235 kertas persidangan dan banyak lagi kertas popular dan laporan teknikal. Beliau telah memenangi lebih dari 30 pingat dan hadiah dalam bidang akademik dan penyelidikan termasuk dua pingat emas dari Seoul International Invention Fair (SIIF 2004) di Seoul, Korea dan International Research Showcase 2007 yang berlangsung di Nurnberg, Jerman. Selain itu beliau juga telah memenangi beberapa anugerah kecemerlangan termasuk ‘Anugerah Khas Kualiti’, Kategori Kumpulan – Pengurusan Makmal Terbaik, UKM (2002); ‘Anugerah Khidmat Cemerlang’, UKM (2003); ‘Anugerah Khas Kualiti’, Kategori Individu (Kakitangan akademik), UKM (2005); Anugerah Makmal Cemerlang (Penyelidikan), Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina UKM (2007), Anugerah Khidmat Cemerlang UTeM (2012), Anugerah Buku Negara (2014 dan 2016), dan Tokoh Akademik UTeM (2018).
Beliau juga adalah merupakan seorang ‘Certified NLP Trainer’; ‘Certified NLP Practitioner’; dan ‘Certified NLP Coach’ (NLP: Neuro Linguistic Programming) di bawah naungan Akademi NLP Malaysia (ANLPM) sejak tahun 2015.

PROFESOR DATUK DR. IR. Ts. MOHD JAILANI BIN MOHD NOR

Trainer

Scroll to Top