Kehidupan Kita Adalah ..... Mengambil Peluang Sekarang

Print

Hari ini hari berpuasa yang ke 18  Ramadhan 1431 bersamaan 28 Ogos 2010 (Sabtu). Dalam refleksi pagi kenangan melayang pada kisah-kisah dikeliling kita. Pada rakan taulan yang ada dan yang sudah pergi meninggalkan kita. Betapa puasa dan raya kali ini begitu berbeza jika kita benar-benar mengamati dan menghayatinya.

Terkenang saya pada sahabat karib sewaktu bersekolah. Allayarham Sdra Azmi meninggal pada pertengahan Ramadhan tahun lepas (1430) setelah beberapa tahun bergelut dengan kanser usus. Teringat betapa tabah beliau mengharungi derita sakit tersebut. Dan sewaktu jasadnya dimandi dan dikapankan dapat saya saksikan ketenangan pada wajahnya. Terkenang saya bagaimana Allayarham begitu mengambil berat kedua orang tuanya. Menemani ibunya menunaikan haji ke Tanah Suci dan tahun berikut menemani bapanya pula. Beliau adalah orang yang mengambil peluang untuk berbakti pada ibu bapanya.

Teringat saya pula pada seorang sahabay karib lain yang baru kehilangan isteri tersayang beberapa bulan dahulu. Isterinya menderita dengan sakit buah pinggang akibat penyakit kencing manis yang teruk. Kedua-dua buah pinggangnya tidak berfungsi. Setiap hari Sdra Mansor dengan penuh teliti dan cermat akan merawat isterinya. Beliau akan melakukan kerja-kerja dialisis dirumah dua kali sehari. Merawat luka. Membawa isteri ke hospital, dll. Selama hampir dua tahun beliau melakukannya tanpa jemu hinggalah isterinya menyahut panggilan Ilahi. Bagi saya sdra Mansor adalah seorang lagi yang mengambil peluang dalam kehidupan. Beliau mentakrifkan erti kasih sayang dan cinta dalam makna yang sebenarnya. Apa yang sdra Mansor lakukan tidak banyak dapat dilakukan oleh lelaki lain. Mungkin saya sendiri pun tidak terlarat melakukannya. Tetapi itulah peluang untuk berbakti yang jarang-jarang akan kita perlolehi.

 


Ambillah peluang untuk melakukan apa sahaja sementara ianya masih terbuka untuk kita. Lakukan dengan segera selagi pintunya masih terbuka dan belum terlewat. Jangan berlengah.

Pergilah tunaikan haji dan umrah sementara anda masih sihat dan mempunyai upaya serta kudrat yang kuat. Jangan tunggu kerana tahun hadapan dan berikutnya anda tidak tahu anda akan berada dimana. Jangan tunggu untuk melawat tempat-tempat impian anda. Jangan berlengah untuk menunggu duit bercupak dan bergantang kerana bila duit sudah bergantang anda mungkin tidak punya upaya lagi untuk melakukannya.

Ambillah peluang untuk membantu sesiapa sahaja yang anda boleh. Rebutlah peluang untuk memberi kasih sayang pada anak-anak dan pasangan anda sementara mereka masih memerlukannya. Buatlah sekarang kerana besok tidak menjanjikan apa-apa.

Rebutlah peluang untuk membina legasi anda hari ini. Bertanyalah pada diri anda apakah legasi yang anda akan tinggalkan apabila anda sudah tiada lagi dalam dunia ini. Adakah anda akan dikenang kerana kebaikan ataupun keburukan anda.

Ambillah peluang itu sekarang!