NLP buka minda capai impian

Print

NLP BUKA MINDA CAPAI IMPIAN

Oleh : Prof. Datuk Dr. Rohana Yusoff Fasc

 

 

Saya pernah dapat maklum balas temu duga daripada pihak industri dan mereka mengatakan ada graduan tidak tahu apa mereka mahu ataupun tiada impian hidup.

Ini agak mengejutkan kerana dalam usia remaja sepatutnya graduan memiliki kecerdasan minda yang akan memacu mereka membina impian luar biasa untuk dicapai tetapi keadaan kini sebaliknya.

Mengapa ini berlaku? Saya percaya ini berpunca daripada didikan kita yang sering buat keputusan untuk mereka.

Maka terhasil generasi graduan yang tidak punya matlamat spesifik dalam kehidupan termasuklah bidang kerjaya.

Ini juga mungkin bermula di zaman persekolahan mereka yang mana mereka hanya ingin lulus peperiksaan tetapi tidak tahu apa yang mereka ingin selepas itu.

 

Apakah Yang Anda Mahu?

Dalam Neuro-Linguistic Programming atau NLP, “APA YANG ANDA MAHU?” adalah soalan utama dan paling penting.

Kemahuan itu merupakan sasaran dalam kehidupan. Ia bukan sekadar soalan kosong, tetapi soalan itulah yang menjadi titik tolak kepada perancangan kita yang selanjutnya.

Soalan ‘APA YANG KITA MAHU’ itu akan terus menerus mengasak minda mereka. Mereka tidak dapat lari untuk tidak menjawabnya kerana itu adalah berkaitan dengan impian mereka.

Asakan ini akhirnya akan menghasilkan ‘outcome thinking’ bagi merancang dan merangka pelan serta kaedah untuk memperoleh jawapan kepada soalan utama tersebut.

Dengan kata mudahnya, apabila kita benar-benar jelas tentang kemahuan kita, maka kita akan dapat merancang dengan teliti supaya ‘APA YANG KITA MAHU’ itu dapat kita capai dengan cemerlang.

Melalui NLP, pelajar diberi kefahaman yang mendalam supaya dapat menentukan sasaran (goal setting) sama ada dalam pelajaran ataupun target atau sasaran dalam kehidupan.

Dalam menentukan sesuatu yang ingin dicapai pelajar tersebut, beberapa konsep dalam membina matlamat diberi kepada pelajar agar target atau sasaran yang ditetapkan tidak tersasar.

Antaranya integrasi tiga konsep iaitu S.M.A.R.T (Specific, Measurable, Achievable, Real, Timeliness), Konsep3P (Positive, Personal, Present) dan kederiaan VAK (Visual, Auditory, Kinesthetic).

Malah satu konsep lagi iaitu P.U.R. E (Positive statement, Understand, Relevant and Ethical) boleh ditambah.

 

Membina Kemampuan Diri

NLP turut menekankan bahawa kita tidak ada kemampuan untuk mengubah persekitaran, tetapi kita ada sepenuh kemampuan untuk mengubah diri agar sesuai dengan persekitaran.

Keupayaan pelajar mengubah diri agar bersesuaian dengan persekitaran amat  penting dalam mencorakkan kejayaan.

Ia akan jadikan pelajar lebih fleksibel.

Mereka yang fleksibel ini akan sentiasa berada dalam keadaan terkawal kerana tidak terpengaruh dengan apa yang ada dalam persekitaran.

Dalam NLP, pelajar dididik supaya dapat kawal diri agar tidak terpengaruh dengan faktor persekitaran ini.

Sebagai contoh, kekayaan atau kemiskinan sama sekali tidak akan beri kesan kepada pelajar untuk berjaya.

Dalam NLP, pelajar pegang prinsip “the past and the present is not the future”.

Ini akan memberi keyakinan kepada pelajar untuk merancang masa depan yang terbaik tanpa terpengaruh apa yang berlaku pada waktu lepas.

Saya begitu teruja dengan Seminar NLP untuk Pelajar anjuran GPSBestari.com dan Akademi NLP Malaysia.

Saya percaya pelajar akan dapat faedah besar dan mereka beruntung kerana mula kenali NLP pada usia muda.

Oleh itu saya ingin sarankan kepada ibu bapa, guru dan pensyarah untuk sama-sama kuasai ilmu NLP kerana ia akan bantu pelajar buka minda.