Text Size
Please update your Flash Player to view content.

Impi Kecemerlangan PDP Jadi Nyata

PDFPrintE-mail

IMPI KECEMERLANGAN PDP JADI NYATA

Oleh : Prof. Dr. Mahadzirah Mohamad

 

Kebanyakan pensyarah, termasuk saya sendiri mempunyai impian untuk menjadi pensyarah yang cemerlang iaitu dapat memberi syarahan yang memukau serta mengasyikkan. Seterusnya ini diharapkan dapat memberi impak yang tinggi terhadap proses pembelajaran pelajar.

Malah, ramai pensyarah,seperti saya  juga mempunyai niat untuk menjadi sumber inspirasi dan motivasi kepada pelajar untuk cemerlang dalam pembelajaran mereka.

NLP merupakan singkatan kepada “Neuro Linguistic Programming” yang merangkumi gabungan tiga komponen yang utama iaitu Otak (Neuro), Bahasa (Linguistic) dan pengaturcaraan (Programming). Neuro adalah di mana berlaku interaksi antara tubuh (reaksi fisiologi) dan minda manusia.

Ia juga merujuk kepada sistem saraf di mana maklumat dan pengalaman diterima melalui lima deria iaitu penglihatan (V), pendengaran (A), sentuhan (K), bau (O) dan rasa (G).

Linguistik pula adalah sistem bahasa yang merangkumi kedua-dua bahasa lisan dan bahasa bukan lisan di mana berlaku proses pengekodan dan pemberian makna oleh sistem representasi individu.

Bahasa menentukan bagaimana individu bersemuka dan berkomunikasi dengan individu lain.

‘Programming’ atau pengaturcaraan merujuk kepada menentukan atau menyusun kelakuan atau tindakan bagi mencapai matlamat yang diingini.

Secara ringkasnya, NLP menjelaskan interaksi dinamik antara minda (neuro) dan bahasa (linguistik) serta bagaimana interaksi antara minda dan bahasa mempengaruhi tingkah laku individu (pengaturcaraan).

NLP pada asalnya dibangunkan pada tahun 1970-an dan merupakan usaha gabungan bersama ahli sains matematik dan komputer, Richard Bandler dan seorang profesor dalam bidang linguistik, John Grinder menggabungkan kepakaran mereka berdua, Bandler dan Grinder memperkenalkan satu sistem yang merevolusikan cara bagaimana komunikasi dan perkembangan individu boleh difahami.

NLP merupakan satu pendekatan atau alat yang mengkaji corak pemikiran dan kelakuan serta menggunakan bahasa untuk berkomunikasi.

NLP mengandungi banyak teknik dan strategi kecemerlangan.

Namun, dalam ruangan yang terhad ini saya ingin berkongsi tiga aspek NLP untuk menerangkan bagaimana NLP dapat membantu seseorang pensyarah membuat penyampaian yang memberi impak tinggi yang positif serta mempengaruhi proses pembelajaran pelajar dengan berkesan.

 

Sistem Representasi Diri

Kebiasaannya, setiap individu memproses maklumat sensori menggunakan lima sistem representasi iaitu melihat, mendengar, sentuhan, bau dan rasa (VAKOG). Kebanyakan orang mempamerkan keutamaan (dominan) atau kecenderungan kepada satu sistem representasi.

Namun, keupayaan seseorang untuk menggabungkan semua sistem representasi mungkin menghasilkan pencapaian yang lebih baik.

Sebagai pensyarah atau guru, adalah amat berguna untuk mengetahui strategi pembelajaran pelajar bagi menghasilkan proses pembelajaran yang berkesan.

Proses pembelajaran merupakan suatu proses yang melibatkan penggunaan kesemua sistem representasi.

Mengetahui sistem representasi pelajar akan membantu pensyarah membina hubungan baik (rapport) dengan pelajar dan dapat menyampaikan kuliah secara berkesan.